Saturday, September 12, 2015

Air Tangan Bonda

Seminggu sudah memasak untuk makan malam. Terasa satu kepuasan yang amat. Semalam hampir terkecundang dek kepenatan selepas separa hari di Taman Awam Nilai untuk program Volunteer Malaysia 2015 anjuran bersama INTI International University  dan IM4U. Tapi alhamdullilah akhirnya memutuskan untuk menghabiskan stok daging minggu lepas yang masih berbaki. Gulai darat daging cicah roti. Wahh. 
Terima kasih Allah kerana memberikan kekuatan ini dan juga kerana menzahirkan di mata kami apa yang sepatutnya tidak dilalui tekak kami. Terima kasih Allah.
Seminggu dua sebelum itu, ada dua kejadian yang sebenarnya mencetuskan tenaga untuk menyediakan makan malam untuk anak-anak dan suami di rumah. Pertama, kami temui bendasing di dalam hidangan nasi arab maqlubah ayam kami yang diyakini najis lipas. Restoran nasi arab berhampiran dengan INTI itu adalah tempat kesukaan kami untuk mendapatkan sebungkus dua menu makan malam segera kami. Yang nyata kami bersyukur kerana tiada sesiapa termakan najis itu.
BAN!
Minggu seterusnya, juga merupakan sebuah kedai makan kegemaran kami. Menu kesukaan anak-anak dan suami di kedai ini  ialah tomyam. Mereka namakan sebagai tomyam putih. Tomyam campur dan daging goreng kunyit hidangan pilihan si suami dan menjadi hidangan makan malam kami. Anak-anak dan suami memulakan dulu operasi dan kerana melihat semuanya berselera turut menceduk sedikit nasi dan duduk bersama di meja makan. Hanya sedikit. Suapan nasi yang hampir terakhir terasa sesuatu yang kecil dan sedikit tajam. Di tarik keluar dari mulut di dalam kumpulan nasi dan yang kelihatan di mata ialah kaki lipas. Terus mati selera.
BAN!
Itulah yang menyebabkan mesti berusaha demi memastikan anak-anak mendapat hidangan bersih dan selamat. Allahu.
Bermula hari ahad lepas inilah senarai hidangan mudah yang dihasilkan:
  • Daging masak merah + sup cendawan
  • Tomyam ikan merah dan udang + telur dadar
  • Udang masak lemak serai + cendawan goreng
  • Daging masak kicap + Ikan kerisi masak asam pedas
  • Ikan kerisi goreng + Lebihan ikan kerisi masak asam pedas
  • Nasi goreng daging 
  • Gulai darat daging cicah roti gardenia
Semua menu aku siapkan dalam 1/2 jam hingga sejam termasuk dengan sesi membersihkan alatan memasak dan mengemas dapur. Tipsnya tentulah seperti yang kebanyakan blogger lain sebutkan. Sediakan bawang putih dan bawang merah yang siap di "blend" dan jadikan stok dalam fridge. Asingkan lauk dalam bekas-bekas kecil ikut saiz dan kuantiti yang sesuai bagi menu satu hidangan makan malam. Sangat membantu kerja di dapur. Penat seharian bekerja pun rasanya masih mampu melakukannya kerana hanya menggunakan masa yang sikit dan tenaga yang minimum sahaja untuk menyiapkannya.
Akan terus masak. Insya Allah. Aku yakin sekali dengan air tangan bonda aku mampu jadi diri aku kini dan aku mohon anak-anakku menjadi lebih baik dari diri ini dengan air tanganku. Hanya padaMu ya Allah aku memohon keberkatan segala usaha kecilku ini.

Monday, January 12, 2015

Ceramah Maulidul Rasul

Alhamdullillah. Masih bernafas di bumi ini. Terima kasih Allah. Semalam, Surau Tazkiah, surau di taman kami mengadakan kuliah Maghrib sempena Maulidul Rasul. Hanya sempat solat maghrib berjemaah dan mendengar bahagian permulaan ceramah kerana Khadeeja sibuk menguji tangga surau menuju ke tingkat atas surau. Di samping jeritan-jeritan kecilnya yang tidak difahami butirnya aku memutuskan untuk hanya pulang ke rumah. Sambil menyuap nasi bubur ke mulut kecil Khadeeja antara butir bicara penceramah yang boleh dikongsikan ialah bagaimana memperkenalkan Rasullullah kepada anak-anak. Kata penceramah itu, berapa kalikah kita menyatakan kepada anak-anak bahawa kita solat, kita makan, kita tidur begitu begini sebenarnya kerana Rasulullah yang melakukannya dan Rasulullah adalah pesuruh Allah yang menerima arahan daripada Allah. Yang tidak melakukan sesuatu mengikut perasaannya sendiri. Mesej mudah yang mesti dipratikkan. Beritahulah mereka bahawa kita melakukan solat, makan beradab, berdoa sebelum tidur, merendah diri, menghormati orang lebih dewasa adalah kerana Rasullullah yang berbuat demikian. Insya Allah. Akan dipraktikkan.

Thursday, January 8, 2015

2015

Alhamdullillah. Segala puja dan puji kepada Allah Pencipta Alam dan selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW. Tirai 2015 telah terbuka luas. Lama sungguh tidak menulis di blog ini. Terasa rindu sekali untuk meluahkan rasa yang terbuku sekian lama. Sesekali yang dilakukan adalah menulis hanya menggunakan word dokumen sahaja kerana tidak punya waktu yang sesuai untuk membuka blog ini. Sangat berharap dapat menambah kandungan blog ini sebanyak mungkin di tahun ini. Terutamanya kandungan resepi dan pengalaman membesarkan tiga puteri bersama raja di hati ini Mr Bahagia Kumari. Akan kugapai cita-cita dan akan ku warnakan 2015 sebaik mungkin. Insya Allah.

Wednesday, June 6, 2012

Kasih Bersemi

Puja dan puji kepada Allah Tuhan sekalian alam. Dengan izinMu segala-galanya berlaku. Dengan limpahan kasih sayangMu maka kasih sesama manusia bertaut. Dengan izinmu dan limpahan kasihMu dua insan itu akhirnya bersatu sebagai suami isteri, Nur Raihana dan Ahmad Fikri. Syukur dengan segala kurniaanMu. Majlis perkahwinan pada 2 Jun 2012 di kampung halaman arwah abah, Allahyarham Mohd Nadzri Ibrahim berjalan sebagaimana diharapkan walaupun sedikit kekalutan dihadapi. Namun berkat usaha semua akhirnya segala-galanya berjaya diatasi. Allah menguji hamba-hambanya hari itu untuk bermuhasabah. Syukur jua diucapkan kerana tentunya banyak sekali hikmah di sebalik yang berlaku. Allah menunjukkan betapa manusia hanya merancang namun Allah jua penentunya. Adinda tersayang kini telah bergelar seorang isteri. Tiada apa yang paling mampu dititipkan di sini kecuali doa semoga kehidupan berumahtangga kedua-duanya dibanjiri kebahagiaan. Kebahagiaan dunia yang boleh membawa kebahagiaan akhirat hendaknya.

Sunday, May 20, 2012

Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman

Alhamdulillah. Tahniah Prof Dr Muhd Kamil. Tidak pernah membaca karya beliau sebelum ini. "Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman" adalah yang pertama. Seronok sekali. Berkali-kali air mata menitis bahkan teresak-esak tanpa malu membaca beberapa bab dalam naskhah ini seperti Surat untuk Menteri, Tolong Jaga Ibu Saya, Malaikat atau Wali Allah dan Hadiah untuk Ibu. 

Inilah yang dikatakan menulis dengan hati akan jatuh ke hati. Terima kasih Allah kerana mencetuskan  rasa untuk membeli bahan bacaan bermutu ini. Bermutu kerana mampu memberikan kesedaran betapa agungnya kuasa Allah. Allah Maha Kaya. Jika ada yang masih belum membaca ini adalah buku yang anda mesti dapatkan dan bacalah.

Selamat membaca. Moga Allah memberikan kasih sayang yang melimpah ruah buat Prof Dr Kamil dan keluarganya. Luaskan pandangannya untuk terus menyumbang ke arah kebaikan. 

Wednesday, May 2, 2012

Nota fikir untuk zikir

Kisah tradisional si luncai terjun dengan labu-labunya digarap kemas Ustaz Pahrol Mohd Juoi untuk menjadikannya begitu relevan dalam konteks semasa contohnya keperluan ilmu sebagai senjata menghadapi musuh agama bukannya lagi kekuatan fizikal serta kepentingan untuk menyeimbangkan tahap ketinggian ilmu dan iman.Itulah salah satu daripada nota bernilai di dalam Nota Fikir untuk Zikir.

Keseronokan membaca naskhah kecil ini adalah kerana olahan bait-bait ayatnya yang ringkas dan mudah difahami. Kepekaan beliau kepada alam sekeliling dan pengalaman hidupnya begitu dikagumi. Beliau mampu menghargai kepelbagaian alam lebih sekadar menikmati keindahannya bahkan juga menambahkan keyakinan kepada Maha Pencipta.Keluasan laut, kehijauan rumput, aliran air sungai semuanya menyediakan ilmu yang bukan sedikit jika direnungi bersungguh-sungguh.

Bukan itu sahaja dalam buku yang bermuka surat 169 ini penulisnya mengembalikan ingatan kepada kisah-kisah yang didengari semasa zaman kanak-kanak seperti kisah yang telah disebutkan di atas iaitu si luncai dengan labu-labunya, kisah arnab dan kura-kura, kisah si tanggang yang derhaka dan sebagainya. Keistimewaannya nostalgia cerita-cerita ringkas itu dilengkapi dengan ulasan pengajaran mengikut pemahaman penulis sendiri bersandarkan kedudukannya sebagai seorang muslim yang beriman kepada Allah SWT.

Nota fikir untuk zikir tebitan Galeri Ilmu ini terdiri daripada 3 bahagian utama iaitu kisah teladan, kejadian alam dan yang terakhir himpunan kata-kata hikmah. Antara sisipan paling menarik pada bahagian terakhir ialah "Untuk Rasa Gembira Dalam Hidup Banyakkan Memberi". Memberi bukan terhad kepada wang ringgit atau harta benda bahkan semudah-mudah pemberian seperti  senyuman dan doa.

Semoga Allah memberkati usaha penulis dan dicetuskan idea-idea yang lebih bernas pada masa akan datang untuk tatapan dan manfaat pembaca.

Tahniah ustaz Pahrol Mohd Juoi.






Tuesday, May 1, 2012

Ikan di laut

Ingatan untuk diri sendiri dan sahabat pembaca,

Belajarlah menjadi ikan di laut, masih tawar isinya walaupun dikelilingi air laut yang masin. Dengan akal yang sempurna pertimbangkan segala yang didengari dengan bijak. Kekalkan jati diri dan jangan sesekali menghakimi insan lain kerana kita semua adalah hambaNya yang hanya layak dihakimi oleh Allah yang Maha Menghakimi.