Kisah tradisional si luncai terjun dengan labu-labunya digarap kemas Ustaz Pahrol Mohd Juoi untuk menjadikannya begitu relevan dalam konteks semasa contohnya keperluan ilmu sebagai senjata menghadapi musuh agama bukannya lagi kekuatan fizikal serta kepentingan untuk menyeimbangkan tahap ketinggian ilmu dan iman.Itulah salah satu daripada nota bernilai di dalam Nota Fikir untuk Zikir.
Keseronokan membaca naskhah kecil ini adalah kerana olahan bait-bait ayatnya yang ringkas dan mudah difahami. Kepekaan beliau kepada alam sekeliling dan pengalaman hidupnya begitu dikagumi. Beliau mampu menghargai kepelbagaian alam lebih sekadar menikmati keindahannya bahkan juga menambahkan keyakinan kepada Maha Pencipta.Keluasan laut, kehijauan rumput, aliran air sungai semuanya menyediakan ilmu yang bukan sedikit jika direnungi bersungguh-sungguh.
Bukan itu sahaja dalam buku yang bermuka surat 169 ini penulisnya mengembalikan ingatan kepada kisah-kisah yang didengari semasa zaman kanak-kanak seperti kisah yang telah disebutkan di atas iaitu si luncai dengan labu-labunya, kisah arnab dan kura-kura, kisah si tanggang yang derhaka dan sebagainya. Keistimewaannya nostalgia cerita-cerita ringkas itu dilengkapi dengan ulasan pengajaran mengikut pemahaman penulis sendiri bersandarkan kedudukannya sebagai seorang muslim yang beriman kepada Allah SWT.
Nota fikir untuk zikir tebitan Galeri Ilmu ini terdiri daripada 3 bahagian utama iaitu kisah teladan, kejadian alam dan yang terakhir himpunan kata-kata hikmah. Antara sisipan paling menarik pada bahagian terakhir ialah "Untuk Rasa Gembira Dalam Hidup Banyakkan Memberi". Memberi bukan terhad kepada wang ringgit atau harta benda bahkan semudah-mudah pemberian seperti senyuman dan doa.
Semoga Allah memberkati usaha penulis dan dicetuskan idea-idea yang lebih bernas pada masa akan datang untuk tatapan dan manfaat pembaca.
Tahniah ustaz Pahrol Mohd Juoi.