Saturday, September 12, 2015

Air Tangan Bonda

Seminggu sudah memasak untuk makan malam. Terasa satu kepuasan yang amat. Semalam hampir terkecundang dek kepenatan selepas separa hari di Taman Awam Nilai untuk program Volunteer Malaysia 2015 anjuran bersama INTI International University  dan IM4U. Tapi alhamdullilah akhirnya memutuskan untuk menghabiskan stok daging minggu lepas yang masih berbaki. Gulai darat daging cicah roti. Wahh. 
Terima kasih Allah kerana memberikan kekuatan ini dan juga kerana menzahirkan di mata kami apa yang sepatutnya tidak dilalui tekak kami. Terima kasih Allah.
Seminggu dua sebelum itu, ada dua kejadian yang sebenarnya mencetuskan tenaga untuk menyediakan makan malam untuk anak-anak dan suami di rumah. Pertama, kami temui bendasing di dalam hidangan nasi arab maqlubah ayam kami yang diyakini najis lipas. Restoran nasi arab berhampiran dengan INTI itu adalah tempat kesukaan kami untuk mendapatkan sebungkus dua menu makan malam segera kami. Yang nyata kami bersyukur kerana tiada sesiapa termakan najis itu.
BAN!
Minggu seterusnya, juga merupakan sebuah kedai makan kegemaran kami. Menu kesukaan anak-anak dan suami di kedai ini  ialah tomyam. Mereka namakan sebagai tomyam putih. Tomyam campur dan daging goreng kunyit hidangan pilihan si suami dan menjadi hidangan makan malam kami. Anak-anak dan suami memulakan dulu operasi dan kerana melihat semuanya berselera turut menceduk sedikit nasi dan duduk bersama di meja makan. Hanya sedikit. Suapan nasi yang hampir terakhir terasa sesuatu yang kecil dan sedikit tajam. Di tarik keluar dari mulut di dalam kumpulan nasi dan yang kelihatan di mata ialah kaki lipas. Terus mati selera.
BAN!
Itulah yang menyebabkan mesti berusaha demi memastikan anak-anak mendapat hidangan bersih dan selamat. Allahu.
Bermula hari ahad lepas inilah senarai hidangan mudah yang dihasilkan:
  • Daging masak merah + sup cendawan
  • Tomyam ikan merah dan udang + telur dadar
  • Udang masak lemak serai + cendawan goreng
  • Daging masak kicap + Ikan kerisi masak asam pedas
  • Ikan kerisi goreng + Lebihan ikan kerisi masak asam pedas
  • Nasi goreng daging 
  • Gulai darat daging cicah roti gardenia
Semua menu aku siapkan dalam 1/2 jam hingga sejam termasuk dengan sesi membersihkan alatan memasak dan mengemas dapur. Tipsnya tentulah seperti yang kebanyakan blogger lain sebutkan. Sediakan bawang putih dan bawang merah yang siap di "blend" dan jadikan stok dalam fridge. Asingkan lauk dalam bekas-bekas kecil ikut saiz dan kuantiti yang sesuai bagi menu satu hidangan makan malam. Sangat membantu kerja di dapur. Penat seharian bekerja pun rasanya masih mampu melakukannya kerana hanya menggunakan masa yang sikit dan tenaga yang minimum sahaja untuk menyiapkannya.
Akan terus masak. Insya Allah. Aku yakin sekali dengan air tangan bonda aku mampu jadi diri aku kini dan aku mohon anak-anakku menjadi lebih baik dari diri ini dengan air tanganku. Hanya padaMu ya Allah aku memohon keberkatan segala usaha kecilku ini.

Monday, January 12, 2015

Ceramah Maulidul Rasul

Alhamdullillah. Masih bernafas di bumi ini. Terima kasih Allah. Semalam, Surau Tazkiah, surau di taman kami mengadakan kuliah Maghrib sempena Maulidul Rasul. Hanya sempat solat maghrib berjemaah dan mendengar bahagian permulaan ceramah kerana Khadeeja sibuk menguji tangga surau menuju ke tingkat atas surau. Di samping jeritan-jeritan kecilnya yang tidak difahami butirnya aku memutuskan untuk hanya pulang ke rumah. Sambil menyuap nasi bubur ke mulut kecil Khadeeja antara butir bicara penceramah yang boleh dikongsikan ialah bagaimana memperkenalkan Rasullullah kepada anak-anak. Kata penceramah itu, berapa kalikah kita menyatakan kepada anak-anak bahawa kita solat, kita makan, kita tidur begitu begini sebenarnya kerana Rasulullah yang melakukannya dan Rasulullah adalah pesuruh Allah yang menerima arahan daripada Allah. Yang tidak melakukan sesuatu mengikut perasaannya sendiri. Mesej mudah yang mesti dipratikkan. Beritahulah mereka bahawa kita melakukan solat, makan beradab, berdoa sebelum tidur, merendah diri, menghormati orang lebih dewasa adalah kerana Rasullullah yang berbuat demikian. Insya Allah. Akan dipraktikkan.

Thursday, January 8, 2015

2015

Alhamdullillah. Segala puja dan puji kepada Allah Pencipta Alam dan selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW. Tirai 2015 telah terbuka luas. Lama sungguh tidak menulis di blog ini. Terasa rindu sekali untuk meluahkan rasa yang terbuku sekian lama. Sesekali yang dilakukan adalah menulis hanya menggunakan word dokumen sahaja kerana tidak punya waktu yang sesuai untuk membuka blog ini. Sangat berharap dapat menambah kandungan blog ini sebanyak mungkin di tahun ini. Terutamanya kandungan resepi dan pengalaman membesarkan tiga puteri bersama raja di hati ini Mr Bahagia Kumari. Akan kugapai cita-cita dan akan ku warnakan 2015 sebaik mungkin. Insya Allah.