Saturday, September 12, 2015

Air Tangan Bonda

Seminggu sudah memasak untuk makan malam. Terasa satu kepuasan yang amat. Semalam hampir terkecundang dek kepenatan selepas separa hari di Taman Awam Nilai untuk program Volunteer Malaysia 2015 anjuran bersama INTI International University  dan IM4U. Tapi alhamdullilah akhirnya memutuskan untuk menghabiskan stok daging minggu lepas yang masih berbaki. Gulai darat daging cicah roti. Wahh. 
Terima kasih Allah kerana memberikan kekuatan ini dan juga kerana menzahirkan di mata kami apa yang sepatutnya tidak dilalui tekak kami. Terima kasih Allah.
Seminggu dua sebelum itu, ada dua kejadian yang sebenarnya mencetuskan tenaga untuk menyediakan makan malam untuk anak-anak dan suami di rumah. Pertama, kami temui bendasing di dalam hidangan nasi arab maqlubah ayam kami yang diyakini najis lipas. Restoran nasi arab berhampiran dengan INTI itu adalah tempat kesukaan kami untuk mendapatkan sebungkus dua menu makan malam segera kami. Yang nyata kami bersyukur kerana tiada sesiapa termakan najis itu.
BAN!
Minggu seterusnya, juga merupakan sebuah kedai makan kegemaran kami. Menu kesukaan anak-anak dan suami di kedai ini  ialah tomyam. Mereka namakan sebagai tomyam putih. Tomyam campur dan daging goreng kunyit hidangan pilihan si suami dan menjadi hidangan makan malam kami. Anak-anak dan suami memulakan dulu operasi dan kerana melihat semuanya berselera turut menceduk sedikit nasi dan duduk bersama di meja makan. Hanya sedikit. Suapan nasi yang hampir terakhir terasa sesuatu yang kecil dan sedikit tajam. Di tarik keluar dari mulut di dalam kumpulan nasi dan yang kelihatan di mata ialah kaki lipas. Terus mati selera.
BAN!
Itulah yang menyebabkan mesti berusaha demi memastikan anak-anak mendapat hidangan bersih dan selamat. Allahu.
Bermula hari ahad lepas inilah senarai hidangan mudah yang dihasilkan:
  • Daging masak merah + sup cendawan
  • Tomyam ikan merah dan udang + telur dadar
  • Udang masak lemak serai + cendawan goreng
  • Daging masak kicap + Ikan kerisi masak asam pedas
  • Ikan kerisi goreng + Lebihan ikan kerisi masak asam pedas
  • Nasi goreng daging 
  • Gulai darat daging cicah roti gardenia
Semua menu aku siapkan dalam 1/2 jam hingga sejam termasuk dengan sesi membersihkan alatan memasak dan mengemas dapur. Tipsnya tentulah seperti yang kebanyakan blogger lain sebutkan. Sediakan bawang putih dan bawang merah yang siap di "blend" dan jadikan stok dalam fridge. Asingkan lauk dalam bekas-bekas kecil ikut saiz dan kuantiti yang sesuai bagi menu satu hidangan makan malam. Sangat membantu kerja di dapur. Penat seharian bekerja pun rasanya masih mampu melakukannya kerana hanya menggunakan masa yang sikit dan tenaga yang minimum sahaja untuk menyiapkannya.
Akan terus masak. Insya Allah. Aku yakin sekali dengan air tangan bonda aku mampu jadi diri aku kini dan aku mohon anak-anakku menjadi lebih baik dari diri ini dengan air tanganku. Hanya padaMu ya Allah aku memohon keberkatan segala usaha kecilku ini.