Terganggu seketika melihat status beberapa individu di laman muka buku. Menggangu di sini bukannya jengkel semata-mata tapi ada yang mencetuskan renungan kepada diri yang agak lama. Antara yang menjengkelkan ialah pernyataan yang tidak henti-henti menyalahkan individu lain kepada apa yang berlaku kepada diri sendiri, perasan bagus dan terlalu mendedahkan aktiviti peribadi. Manakala status yang menyedarkan diri antaranya yang membangkitkan isu-isu sosial yang sedang memporak perandakan masyarakat kita hari ini. Galak menyerang remaja hari ini. Anak gadis mengikut teman lelaki, remaja kesat bahasanya, remaja hilang sensitiviti, remaja hilang dalam dunianya. Sangat menakutkan memikirkan anak-anak yang sedang membesar yang bakal menjadi remaja. Mampukah ibu bapa ini menjadikan mereka bukan daripada remaja-remaja yang begini tingkah lakunya, sikapnya, budi bahasanya. Bungkam seketika memikirkan semua ini. Mungkin acap sedikit terdedah kepada hal-hal ini beberapa hari kebelakangan ini. Tarikan kepada isu-isu sebegini sangat kuat dan kerana itu kebanyakan hasil tulisan mesti bersandarkan isu-isu sosial ini yang akhirnya membawa kepada hal-ehwal pendidikan anak-anak. Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Kaya Kasih Sayang ampunkan diri ini dan cetuskan idea-idea yang baik untuk aku terus memperbaiki diri dan juga memberikan kesedaran yang sama kepada orang-orang lain juga. Amin
No comments:
Post a Comment