Terlalu awal untuk membuktikan sesuatu pada ketika ini tetapi proses pembuktian memerlukan penjelasan dan perincian. Maka perincian itulah akan menyokong dapatan akhir nanti. Semuanya berkisar tentang pengalaman teori yang dipraktikkan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil serta butiran perolehan hasil perlaksanaan teori tersebut. Menarik kan! Perkongsian itu juga dilanjutkan kepada suami yang agak keberatan membaca buku "Aku Terima Nikahnya" tersebut.
Sebelum ini tertanya-tanya tentang praktis mat-mat saleh yang dipertontonkan di tv yang membacakan “bedtime stories” kepada anak-anak kecil mereka. Ustaz Hasrizal mengupas persoalan tersebut dan ternyata amat menarik. Anak yang dibaca cerita sebelum tidur akan tidur dengan tenang kerana perceritaan tersebut adalah sangat menyenangkan apabila anak-anak disogokkan dengan lenggok nada yang pelbagai. Apabila mereka merasa nyaman dan tenang mereka akan tidur dengan selesa tanpa gangguan dan tekanan. Ini dibuktikan apabila mereka amat mudah dikejutkan pada waktu pagi dan senang sekali diurus pada paginya. Manakala dari sudut lain ibu atau bapa sebenarnya sedang berseronok dengan anak-anak. Inilah yang dikatakan masa-masa berkualiti bersama. Mengusap, membelai dan melayan soalan-soalan yang kreatif dan spontan mereka sangat mengujakan.
Itulah yang dilalui pada malam pertama praktikal bagi keluarga kami.Tidak mudah untuk memulakan sesuatu apalagi dalam keadaan yang telah sekian lama anak-anak disogokkan dengan ulitan bahasa tv sebelum dan sebaik sahaja bangun dari tidur. Allah Maha Bijaksana. Semoga Kau kuatkan diri ini merubah kehidupan kami ke arah yang lebih baik. Semoga istaqimah dalam membuat perubahan ke arah jalan yang Kamu redhai. Kebiasaan melelapkan mata yang tidak berjadual selama ini juga menambahkan keberatan bagi mereka berdua mengakhiri hari mereka seawal pukul 9.30-10.00 malam. Namun semalam atas kerjasama semua kami bersetuju menutup tv pada seawal 9.40 malam dan memulakan cerita pertama tentang gagak yang bijak. Cerita pertama ini telah diminta oleh Dyan dari petang sejak menyatakan idea bercerita sebelum tidur. Tujuannya untuk menyediakan mental mereka seadanya. Memandangkan cerita ini telah diketahuinya tidak sabar sekali dia ingin mengakhiri cerita ini. Namun begitu sengaja dileret-leretkan jalan cerita agar mereka banyak bertanya dan memudahkan mereka mengantuk. Tapi ternyata satu cerita tidak cukup melalikan mata-mata yang telah sekian lama diasuh dengan masa tidur yang tidak menentu dan kebanyakannya seawal pukul 11.00 malam.
Cerita kedua diminta oleh Eizz, sebuah kisah monyet dan kura-kura. Cerita rakyat ini juga tidak berkesan. Mendapat idea daripada catatan Ustaz Hasrizal kusambungkan cerita tersebut menjadi sebuah cerita lain dan kali ini Eizz Azwira melelapkan matanya. Namun Dyan masih tidak berjaya menutup matanya walaupun kelihatan matanya membinar merah. Bahkan merengek-rengek meminta tv dipasang kembali. Akhirnya cerita terakhir kancil dan kura-kura yang sepatutnya arnab dan kura-kura berkesan. Dyan tewas menahan butir kata yang meleret-leret namun masih kuat untuk bangun seketika bagi memungut kepingan kertas tertulis lirik-lirik nasyid yang dibekalkan Cikgu Ana untuk di simpan semula ke dalam beg dan kembali mendengar cerita mama.
Ingatan yang esok akan dibangunkan dan berkelakuan baik juga tidak lupa dibisikkan kepada kedua-duanya.
Malam-malam berikutnya sejak mempraktikkan "bedtime stories" (10 malam) adalah malam-malam yang sangat indah, tenang, damai dan seronok. Kebanyakan malam papa yang bercerita dan mama ini juga adalah pendengarnya. Terima kasih Allah dengan limpahan kasih sayangMu.
No comments:
Post a Comment