Wednesday, June 6, 2012

Kasih Bersemi

Puja dan puji kepada Allah Tuhan sekalian alam. Dengan izinMu segala-galanya berlaku. Dengan limpahan kasih sayangMu maka kasih sesama manusia bertaut. Dengan izinmu dan limpahan kasihMu dua insan itu akhirnya bersatu sebagai suami isteri, Nur Raihana dan Ahmad Fikri. Syukur dengan segala kurniaanMu. Majlis perkahwinan pada 2 Jun 2012 di kampung halaman arwah abah, Allahyarham Mohd Nadzri Ibrahim berjalan sebagaimana diharapkan walaupun sedikit kekalutan dihadapi. Namun berkat usaha semua akhirnya segala-galanya berjaya diatasi. Allah menguji hamba-hambanya hari itu untuk bermuhasabah. Syukur jua diucapkan kerana tentunya banyak sekali hikmah di sebalik yang berlaku. Allah menunjukkan betapa manusia hanya merancang namun Allah jua penentunya. Adinda tersayang kini telah bergelar seorang isteri. Tiada apa yang paling mampu dititipkan di sini kecuali doa semoga kehidupan berumahtangga kedua-duanya dibanjiri kebahagiaan. Kebahagiaan dunia yang boleh membawa kebahagiaan akhirat hendaknya.

Sunday, May 20, 2012

Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman

Alhamdulillah. Tahniah Prof Dr Muhd Kamil. Tidak pernah membaca karya beliau sebelum ini. "Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman" adalah yang pertama. Seronok sekali. Berkali-kali air mata menitis bahkan teresak-esak tanpa malu membaca beberapa bab dalam naskhah ini seperti Surat untuk Menteri, Tolong Jaga Ibu Saya, Malaikat atau Wali Allah dan Hadiah untuk Ibu. 

Inilah yang dikatakan menulis dengan hati akan jatuh ke hati. Terima kasih Allah kerana mencetuskan  rasa untuk membeli bahan bacaan bermutu ini. Bermutu kerana mampu memberikan kesedaran betapa agungnya kuasa Allah. Allah Maha Kaya. Jika ada yang masih belum membaca ini adalah buku yang anda mesti dapatkan dan bacalah.

Selamat membaca. Moga Allah memberikan kasih sayang yang melimpah ruah buat Prof Dr Kamil dan keluarganya. Luaskan pandangannya untuk terus menyumbang ke arah kebaikan. 

Wednesday, May 2, 2012

Nota fikir untuk zikir

Kisah tradisional si luncai terjun dengan labu-labunya digarap kemas Ustaz Pahrol Mohd Juoi untuk menjadikannya begitu relevan dalam konteks semasa contohnya keperluan ilmu sebagai senjata menghadapi musuh agama bukannya lagi kekuatan fizikal serta kepentingan untuk menyeimbangkan tahap ketinggian ilmu dan iman.Itulah salah satu daripada nota bernilai di dalam Nota Fikir untuk Zikir.

Keseronokan membaca naskhah kecil ini adalah kerana olahan bait-bait ayatnya yang ringkas dan mudah difahami. Kepekaan beliau kepada alam sekeliling dan pengalaman hidupnya begitu dikagumi. Beliau mampu menghargai kepelbagaian alam lebih sekadar menikmati keindahannya bahkan juga menambahkan keyakinan kepada Maha Pencipta.Keluasan laut, kehijauan rumput, aliran air sungai semuanya menyediakan ilmu yang bukan sedikit jika direnungi bersungguh-sungguh.

Bukan itu sahaja dalam buku yang bermuka surat 169 ini penulisnya mengembalikan ingatan kepada kisah-kisah yang didengari semasa zaman kanak-kanak seperti kisah yang telah disebutkan di atas iaitu si luncai dengan labu-labunya, kisah arnab dan kura-kura, kisah si tanggang yang derhaka dan sebagainya. Keistimewaannya nostalgia cerita-cerita ringkas itu dilengkapi dengan ulasan pengajaran mengikut pemahaman penulis sendiri bersandarkan kedudukannya sebagai seorang muslim yang beriman kepada Allah SWT.

Nota fikir untuk zikir tebitan Galeri Ilmu ini terdiri daripada 3 bahagian utama iaitu kisah teladan, kejadian alam dan yang terakhir himpunan kata-kata hikmah. Antara sisipan paling menarik pada bahagian terakhir ialah "Untuk Rasa Gembira Dalam Hidup Banyakkan Memberi". Memberi bukan terhad kepada wang ringgit atau harta benda bahkan semudah-mudah pemberian seperti  senyuman dan doa.

Semoga Allah memberkati usaha penulis dan dicetuskan idea-idea yang lebih bernas pada masa akan datang untuk tatapan dan manfaat pembaca.

Tahniah ustaz Pahrol Mohd Juoi.






Tuesday, May 1, 2012

Ikan di laut

Ingatan untuk diri sendiri dan sahabat pembaca,

Belajarlah menjadi ikan di laut, masih tawar isinya walaupun dikelilingi air laut yang masin. Dengan akal yang sempurna pertimbangkan segala yang didengari dengan bijak. Kekalkan jati diri dan jangan sesekali menghakimi insan lain kerana kita semua adalah hambaNya yang hanya layak dihakimi oleh Allah yang Maha Menghakimi.


Sunday, April 29, 2012

Kejahatan vs Kebaikan

Apabila kejahatan dibalas kejahatan, itu adalah dendam
Apabila kebaikan dibalas kebaikan, itu adalah perkara biasa
Apabila kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim
Tetapi apabila kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji




101 Akhlak Rasullullah, Rohayati Bakri, PTS Islamika Sdn Bhd, m/s 3

Wednesday, April 18, 2012

Resmi Padi


Maha Suci Allah Tuhan Sekalian Alam..

Benar-benar perlu menterjemahkan apa yang terperangkap di dalam hati ini seberapa pantas dan diharapkan mampu paling tidak mengendurkan ketegangan yang melanda.

Menjadi sebahagian daripada rutin dalam bagi semua jenis jawatan untuk menghadiri dan menyertai latihan, kursus, seminar, bengkel demi meningkatkan kualiti kerja masing-masing. Di samping menjadi wadah meningkatkan keberkesanan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan inilah juga platform untuk mengutarakan pendapat, pandangan dan idea baru bahkan juga sebarang kritikan membina demi kebaikan bersama. Tidak salah langsung untuk mempunyai pandangan yang berbeza sesama sendiri tetapi tentunya ada cara yang sesuai untuk berbuat demikian. Ada etika tersendiri. Asas utama ialah menghormati perbezaan dan meraikan persamaan.

Cuba mengingatkan diri sendiri agar lebih menjadi manusia. Manusia yang memahami manusia yang lain. Yang sedar sebagai manusia yang punya perasaan akan sakit apabila dikasari. Yang semakin sedar setiap manusia adalah berbeza tetapi jangan sesekali perbezaan memecah belahkan tembok kesatuan.
Berbeza pendapat bukankah digalakkan demi mencetuskan idea yang paling ideal. Cuma sama-sama memikirkan cara menyampaikannya dengan perkataan yang paling sesuai demi tidak melukakan sesiapa dan tidak juga memandai-mandai tapi pandai. Manusia yang merendah diri adalah yang tinggi harga dirinya.

“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai” [Luqman 31: 19]


Ingatan untuk diri sendiri sentiasa meletakkan diri pada diri orang lain jika benar-benar ingin memahami perasaan orang lain.



Tuesday, April 17, 2012

"Bedtime Stories"

Terlalu awal untuk membuktikan sesuatu pada ketika ini tetapi proses pembuktian memerlukan penjelasan dan perincian. Maka perincian itulah akan menyokong dapatan akhir nanti. Semuanya berkisar tentang pengalaman teori yang dipraktikkan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil serta butiran perolehan hasil perlaksanaan teori tersebut. Menarik kan! Perkongsian itu juga dilanjutkan kepada suami yang agak keberatan membaca buku "Aku Terima Nikahnya" tersebut.

Sebelum ini tertanya-tanya tentang praktis mat-mat saleh yang dipertontonkan di tv yang membacakan “bedtime stories” kepada anak-anak kecil mereka. Ustaz Hasrizal mengupas persoalan tersebut dan ternyata amat menarik. Anak yang dibaca cerita sebelum tidur akan tidur dengan tenang kerana perceritaan tersebut adalah sangat menyenangkan apabila anak-anak disogokkan dengan lenggok nada yang pelbagai. Apabila mereka merasa nyaman dan tenang mereka akan tidur dengan selesa tanpa gangguan dan tekanan. Ini dibuktikan apabila mereka amat mudah dikejutkan pada waktu pagi dan senang sekali diurus pada paginya. Manakala dari sudut lain ibu atau bapa sebenarnya sedang berseronok dengan anak-anak. Inilah yang dikatakan masa-masa berkualiti bersama. Mengusap, membelai dan melayan soalan-soalan yang kreatif dan spontan mereka sangat mengujakan. 

Itulah yang dilalui pada malam pertama praktikal bagi keluarga kami.Tidak mudah untuk memulakan sesuatu apalagi dalam keadaan yang telah sekian lama anak-anak disogokkan dengan ulitan bahasa tv sebelum dan sebaik sahaja bangun dari tidur. Allah Maha Bijaksana. Semoga Kau kuatkan diri ini merubah kehidupan kami ke arah yang lebih baik. Semoga istaqimah dalam membuat perubahan ke arah jalan yang Kamu redhai. Kebiasaan melelapkan mata yang tidak berjadual selama ini juga menambahkan keberatan bagi mereka berdua mengakhiri hari mereka seawal pukul 9.30-10.00 malam. Namun semalam atas kerjasama semua kami bersetuju menutup tv pada seawal 9.40 malam dan memulakan cerita pertama tentang gagak yang bijak. Cerita pertama ini telah diminta oleh Dyan dari petang sejak menyatakan idea bercerita sebelum tidur. Tujuannya untuk menyediakan mental mereka seadanya. Memandangkan cerita ini telah diketahuinya tidak sabar sekali dia ingin mengakhiri cerita ini. Namun begitu sengaja dileret-leretkan jalan cerita agar mereka banyak bertanya dan memudahkan mereka mengantuk. Tapi ternyata satu cerita tidak cukup melalikan mata-mata yang telah sekian lama diasuh dengan masa tidur yang tidak menentu dan kebanyakannya seawal pukul 11.00 malam. 

Cerita kedua diminta oleh Eizz, sebuah kisah monyet dan kura-kura. Cerita rakyat ini juga tidak berkesan. Mendapat idea daripada catatan Ustaz Hasrizal kusambungkan cerita tersebut menjadi sebuah cerita lain dan kali ini Eizz Azwira melelapkan matanya. Namun Dyan masih tidak berjaya menutup matanya walaupun kelihatan matanya membinar merah. Bahkan merengek-rengek meminta tv dipasang kembali. Akhirnya cerita terakhir kancil dan kura-kura yang sepatutnya arnab dan kura-kura berkesan. Dyan tewas menahan butir kata yang meleret-leret namun masih kuat untuk bangun seketika bagi memungut kepingan kertas tertulis lirik-lirik nasyid yang dibekalkan Cikgu Ana untuk di simpan semula ke dalam beg dan kembali mendengar cerita mama.

Ingatan yang esok akan dibangunkan dan berkelakuan baik juga tidak lupa dibisikkan kepada kedua-duanya. 

Malam-malam berikutnya sejak mempraktikkan "bedtime stories" (10 malam) adalah malam-malam yang sangat indah, tenang, damai dan seronok. Kebanyakan malam papa yang bercerita dan mama ini juga adalah pendengarnya. Terima kasih Allah dengan limpahan kasih sayangMu.



Monday, April 16, 2012

Ayat 8 Surah Ali Imran

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Betapa besar kurniaan kasih sayangMu pada hambaMu ini. Segala puja dan puji hanya padaMu. Terima kasih Allah kerana menguatkan hati ini. Berbekas benar ayat 8 Surah Ali Imran. Antara maksudnya Ya Allah! Jangan pesongkan hati kami setelah Engkau menunjukkan jalan yang betul dan kurniakanlah kami rahmatMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi. Baru sekejapan meneliti artikel Ustaz Hasrizal dalam Murrabi Cinta dengan 2 kali ulangan ayat dari surah Ali Imran itu. Sekejapan itu juga suatu ujian yang maha mencabar datang. Jika dirimu enggan dilayan sebegitu maka jangan sesekali melayan orang sebegitu. Ingatan untuk diri sendiri dan sahabat yang diharapkan akan mengerti. Yakin sekali dirinya juga tidak akan redha jika isterinya memperlakukannya sedemikian. Sama-sama kita mencari keredhaan Allah dengan tidak sesekali mencabar kasih sayang yang telah sentiasa dikurniakan pada diri kita.

Saturday, March 31, 2012

Keghairahan + Keikhlasan

Bengkel Penulisan Islami hari ini benar-benar berbekas. Inilah hasil suatu yang lahir dari hati sebagaimana yang kebanyakan kita maklumi. Pekerjaan yang dimulakan dan disudahi dengan keikhlasan beserta dengan keghairahan yang tiada surutnya memberikan impak yang bukan sedikit. Tahniah buat semua yang terlibat di Fikrah Perkasa terutamanya Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Thursday, March 22, 2012

Jengkel lawan Kesedaran

Terganggu seketika melihat status beberapa individu di laman muka buku. Menggangu di sini bukannya jengkel semata-mata tapi ada yang mencetuskan renungan kepada diri yang agak lama. Antara yang menjengkelkan ialah pernyataan yang tidak henti-henti menyalahkan individu lain kepada apa yang berlaku kepada diri sendiri, perasan bagus dan terlalu mendedahkan aktiviti peribadi. Manakala status yang menyedarkan diri antaranya yang membangkitkan isu-isu sosial yang sedang memporak perandakan masyarakat kita hari ini. Galak menyerang remaja hari ini. Anak gadis mengikut teman lelaki, remaja kesat bahasanya, remaja hilang sensitiviti, remaja hilang dalam dunianya. Sangat menakutkan memikirkan anak-anak yang sedang membesar yang bakal menjadi remaja. Mampukah ibu bapa ini menjadikan mereka bukan daripada remaja-remaja yang begini tingkah lakunya, sikapnya, budi bahasanya. Bungkam seketika memikirkan semua ini. Mungkin acap sedikit terdedah kepada hal-hal ini beberapa hari kebelakangan ini. Tarikan kepada isu-isu sebegini sangat kuat dan kerana itu kebanyakan hasil tulisan mesti bersandarkan isu-isu sosial ini yang akhirnya membawa kepada hal-ehwal pendidikan anak-anak. Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Kaya Kasih Sayang ampunkan diri ini dan cetuskan idea-idea yang baik untuk aku terus memperbaiki diri dan juga memberikan kesedaran yang sama kepada orang-orang lain juga. Amin

Monday, March 19, 2012

Sibukkan Diri

Syukur pada yang Maha Penyayang kerana masih di sini. Lama benar tidak berbicara di blog ini. Masih setia menulis tapi dalam format words serta isu yang belum nampak kesudahan. Terasa begitu sukar mendapat cetusan idea-idea yang baik dan meletakkan bersama menjadi suatu tulisan yang senang dibaca. Mohon cetusan-cetusan idea itu didatangkan Yang Maha Bijaksana untuk diri terus membaiki diri dan pada masa yang sama memberi kepada sesama insan. Mohon jua padaNya disibukkan diri dengan agenda-agenda baik setiap detik supaya ada ganjaran untuk setiap kesibukan dan usaha itu. Beberapa kali Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam naskah trilogi Aku Terima Nikahnya mengulangi betapa akan terlalai seorang manusia jika masanya begitu terluang.  Ingatan ini teramat tepat bagi seorang bergelar manusia. Inilah senjata yang akan merosakkan diri. Segala puja dan puji kepadaNYA, menjadikan diri ini lebih baik dari hari semalam dan disibukkan dengan hal-hal yang baik sahaja. Maha Suci Allah.